Monday, 21 January 2013

Suju terus cemerlang!


SUPER Junior atau Suju terus mengukir sejarah industri muzik Korea Selatan apabila menjadi kumpulan paling banyak menerima pengiktirafan pada Anugerah Golden Disk (GDA). Sehingga kini, kumpulan yang ditubuhkan sejak 2005 itu berjaya memenangi 16 trofi meliputi kategori penjualan album dan undian peminat.

Terbaharu, Suju sekali lagi diangkat sebagai penerima anugerah Album Terbaik di Samsung Galaxy The 27th Golden Disk Awards yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Kuala Lumpur, Sepang, Selangor pada 15 dan 16 Januari lalu.

Kejayaan yang diperolehi kumpulan di bawal label S.M. Entertainment itu menerusi album keenam berjudul Sexy, Free & Single yang turut mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan penggemar muzik termasuk di Australia, Perancis, Peru dan Jepun.

Penilaian terhadap album Sexy, Free & Single itu dilihat ekoran kejayaan menduduki tempat ketiga Billboard World Album selain penjualan paling laris apabila terjual sehingga 333,744 unit dalam tempoh satu bulan seperti tercatat pada Carta Gaon Korea Selatan.

Penjualan album Suju yang memberangsangkan itu turut menjadi pengukur utama juri daripada Persatuan Industri Muzik Korea sebelum sebulat suara mengangkat kumpulan itu sebagai penerima anugerah tertinggi bagi kategori album di GDA 2012.

Dan lebih membanggakan, penganugerahan itu bukan julung kali diterima Suju kerana kumpulan itu pernah menerima anugerah yang sama pada GDA 2011 apabila penjualan album Mr. Simple dengan begitu pantas mencecah 542,806 salinan di pasaran Korea.

Kejayaan mempertahankan gelaran sebanyak dua tahun berturut-turut itu disambut dengan sorakan gembira peminat K-Pop tanah air yang datang ke Sepang tempoh hari.

Apatah lagi sebelum itu, rata-rata peminat Suju menjerit histeria setelah pihak penganjur mengumumkan keputusan Suju sebagai penerima trofi Album GDA dan Bintang Asia Tenggara Pilihan MSN. Sokongan padu itu ternyata membuatkan hati ahli Suju yang terdiri daripada Leeteuk, Heechul, Yesung, Kang-in, Shindong. Sungmin, EunHyuk, DongHae, Siwon, Ryeowook dan Kyuhyun tersentuh.

Malah sewaktu sesi temuramah yang dibuat pada petang Selasa lalu, Suju memberitahu sangat berbesar hati dengan sokongan peminat tempatan yang tak pernah putus sejak penubuhan kumpulan tersebut sehingga ke hari ini.

"Kami rasa teruja apabila dengar jeritan peminat Malaysia setiba kami di lapangan terbang. Itu adalah satu penghormatan besar kepada kami. Sudah pastinya, kami berharap agar peminat di sini terus memberi sokongan tak berbelah kepada kami," kata Leeteuk selaku ketua kumpulan.

Kejayaan Keluarga YGSAMSUNG Galaxy The 27th Golden Disk Awards menyaksikan beberapa penyanyi yang bernaung di bawah label rakaman YG Entertainent mengukir kejayaan masing-masing pada malam kedua penganjuran anugerah itu.

Seperti dijangka, lagu Gangnam Style yang dinyanyikan PSY diangkat sebagai Lagu Terbaik di GDA 2012. Sedikit mengecewakan apabila penyanyi lagu yang mencetuskan fenomena tarian kuda itu tidak dapat hadir kerana urusan penting di Los Angeles, Amerika Syarikat pada hari yang sama.

Pun begitu rasa gembira tersebut dikongsi bersama ahli keluarga YG Entertaiment iaitu G-Dragon dari kumpulan BIGBANG yang tak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada peminat atas kejayaan lagu berkenaan.

Selain PSY, BIGBANG, 2NE1 dan G-Dragon turut menerima anugerah Lagu GDA manakala Epik High dipilih sebagai Bintang Hip Hop Terbaik. Jenama BIGBANG semakin kukuh apabila pihak The Microsoft Network (MSN) selaku penganjur media utama GDA 2012 memilih kumpulan itu untuk Anugerah Antarabangsa MSN.

Namun dalam banyak-banyak keputusan yang diumumkan para juri pada hari terakhir, pastinya semua tertarik apabila pengacara bertugas iaitu Lee Hong Ki yang juga penyanyi utama kumpulan F.T Island terpilih untuk menerima Anugerah Fesyen Terbaik.

Masakan tidak sewaktu sesi latihan, namanya langsung tidak disebut menyebabkan Hong Ki yang juga pelakon drama You're Beautiful benar-benar terkejut sewaktu meneruskan majlis bersama rakan sekerja, Dasom daripada kumpulan Sistar.

Apa pun, ramai yang bersetuju dengan keputusan yang dipilih secara undian itu kerana Hong Ki sememangnya mempunyai cita rasa yang pelbagai dan sering mencipta kelainan setiap kali hadir di majlis besar.

via utusanonline

No comments:

Advertisement