Wednesday, 27 November 2013

Aura SuJu takluki pentas

Kuasa kumpulan tersohor ini sememangnya bukan terletak pada nama semata-mata kerana sehingga kini apa yang melekat di mata peminat tegar tentu sekali luar biasanya persembahan mereka di pentas.

Bukan ‘props’ atau pentas gah yang menjadikan Super Junior atau SuJu lebih hebat setiap kali menakluk pentas, sebaliknya aura dibawa mereka berbeza dengan kumpulan lain apabila keintiman itu lebih terasa.

Demikian juga suasana di Stadium Tertutup Putra, Bukit Jalil, kelmarin sewaktu sebelas anggotanya Heechul, Kangin, Shindong, Sungmin, Eunhyuk, Donghae, Siwon, Ryeowook dan Kyuhyun serta dua anggota Super Junior-M, Zhou Mi dan Henry tampil cara tersendiri menerusi konsert siri jelajah Super Show 5 kumpulan dari Korea Selatan itu.

Dinamik, bertenaga dan menyentuh perasaan, SuJu ternyata sudah mempersiapkan sesuatu yang tentu sekali kekal di ingatan penonton kira-kira 10,000 pada konsert bermula 5 petang itu.
Mungkin menjadi kelebihan kumpulan ini yang dibarisi ramai anggota di mana tidak ada kelemahan stamina apabila masing-masing melunaskan sesi persembahan solo.


Apapun, setiap kali semuanya bergabung di atas pentas, ketika itulah terlihat tenaga yang mengagumkan meskipun sukar untuk fokus hendak menonton anggota mana satu.

Ini kerana, baik Shindong, Siwon, Kangin dan yang lain, semua mempunyai karakter berbeza menampakkan gabungan itu umpama pertembungan hebat ‘superstar’ sedangkan mereka sekumpulan.

Kelincahan dan sisi kelakar yang spontan begitu menyentuh apalagi ikatan ditunjukkan mereka di atas pentas tampak tidak dibuat-buat dan ikhlas.

Memang begitulah suasananya apabila bukan seperti konsert lain yang memerlukan semua anggotanya patuh kepada koreografi serta corak persembahan ditetapkan.

SuJu bagaikan jejaka-jejaka nakal yang terlepas daripada tahanan dan menukar atmosfera konsert menjadi pesta keraian di mana setiap kali mendendangkan lagu, pasti disahut penonton.

Bukan persoalan utama untuk menilai vokal mereka pada konsert selama tiga jam setengah itu kerana apa yang pasti, kehangatan dibawakan mereka sudah cukup menaikkan kegilaan peminat.

Belum lagi apabila setiap mereka bercanda serta menunjukkan sisi ‘gila-gila’ sambil saling sakat-menyakat, memang keintiman itu menjadi lebih indah selain sekali-sekala pergi menghampiri peminat.

Yang pasti, konsert berkenaan bertukar menjadi pentas tarian paling ‘happening’ dengan aksi hebat mereka melunaskan setiap koreografi namun paling istimewa, disusuli pula sesi ‘tunjuk lagak’ sesama mereka.

Bukan saja aksi spontan bergurau-senda, malah turut menyerikan pentas apabila Shindong dan Heechul antara yang dicabar menunjukkan aksi terbaik mereka menarikan sebuah lagu.

Tidak ketinggalan, dirindui selama ketiadaan selama setahun, kemunculan semula Heechul menyertai konsert kali ini nyata melengkapkan lagi persembahan maklum saja karakter dia yang mengundang gelak-tawa.

Tidak sarat dengan konsep, ringkas namun padat, tiada selang pun persembahan mereka petang itu dan tidak terkecuali memainkan sebuah sketsa pendek meng–gunakan subtajuk bahasa Melayu mengiringi klip itu.

Pasti turut menjadi bualan apabila empat daripada anggota SuJu tiba-tiba muncul berpakaian wanita meniru kumpulan terkenal 2NE1 membuatkan satu stadium bergema dengan gelak tawa.

Menyusul selepas itu, sembilan daripada mereka mengejutkan penonton pula dengan menyarung pakaian-pakaian adiwira pelbagai karakter.

Meskipun membuat gimik lagu Marry You menjadi penutup konsert berkenaan, peminat tidak mahu berganjak dan mahukan lebih lagi sebelum kehangatan diteruskan lagi dengan nyanyi lagu meletup mereka Sorry Sorry.

Mendendangkan 28 lagu kesemuanya, beberapa lagu Mandarin turut dinyanyikan khas buat peminat di sini memandangkan anggota SuJu juga ada yang tidak berasal dari Korea Selatan dan fasih berbahasa Mandarin.

Membuka tirai dengan lagu Mr. Simple, turut di–nyanyikan adalah Super Girl; Sexy, Free & Single; Club No. 1; Cold; How Am I Supposed to Live Without You; Break Down; Trap; A-Oh; Go + Shake it Up; Rock Star; medley Bitter Sweet, Someday & Memories; Wonder Boy; Sunny; Dancing Out; Show Me Your Love; Sapphire Blue.

Disusuli lagu penutup So I, seperti biasa masing-masing sempat mengucapkan sepatah dua kata selain berterima kasih dengan sokongan berterusan daripada peminat di sini terutamanya.

“Kami ibarat berkahwin dengan kamu semua malam ini. Sedihnya kami terpaksa balik ke Korea sebaik tamat konsert ini. Kalau boleh kami tidak mahu ini semua berhenti.

“Kamu jangan lupakan kami kerana kami pun tidak akan pernah lupakan kamu semua. Nantikan kunjungan kami yang seterusnya, terus menyokong kami dan jaga diri,” begitu antara ucapan mereka.

Dianjurkan Star Planet bersama Spritzer dan mendapat tajaan daripada Acer serta Intel, Malaysia antara destinasi terakhir siri jelajah berkenaan yang bermula sejak awal tahun ini dan sudah berkunjung ke serata dunia termasuklah Brazil, Argentina dan Peru.

Sumber : hmetro.com.my

No comments:

Advertisement