Wednesday, 27 November 2013

Lebih 10,000 hadiri konsert Super Junior

NAMA kumpulan dari Korea Selatan, Super Junior, bukan lagi asing bagi penggemar irama K-Pop di Malaysia.

Biarpun kali terakhir menjejakkan kaki ke Malaysia pada Januari lalu menerusi acara penuh berprestij, Golden Disk Awards ke-27, namun rata-rata peminat Super Junior atau Suju masih menantikan kedatangan mereka sekali lagi untuk tahun ini.

Apatah lagi, kali terakhir kumpulan yang terdiri daripada Heechul, Kangin, Shindong, Sungmin, Eunhyuk, Donghae, Siwon, Ryeowook, Kyuhyun, bersama dua lagi ahli Super Junior M, iaitu Zhou Mi dan Henry mengadakan konsert dia Malaysia adalah pada tahun 2011.

Bagaimanapun, dua lagi ahli kumpulan Suju, Leeteuk dan Yesung tidak dapat bersama bagi konsert Super Show 5 Super Junior World Tour in Kuala Lumpur, kelmarin kerana terlibat dengan latihan ketenteraan yang wajib bagi setiap lelaki berusia 27 tahun di Korea Selatan.

Biarpun tanpa dua ahli kumpulan tersebut, ia tidak menghalang kehadiran lebih 10, 000 peminat untuk hadir memeriahkan Super Show 5 yang bermula pada jam 5 petang itu.

Menerusi konsert yang dianjurkan oleh Star Planet dan dibawakan oleh Spritzer Natural Mineral Water, Suju menyampaikan 28 buah lagu seperti Mr Simple, Sorry Sorry, Super Girl, Cold, Break Down, Rock Star, Sunny, Dancing Out dan banyak lagi.

Selain menyanyi secara berkumpulan, ia turut diselang seli dengan persembahan solo dan duet dari ahli Suju yang lain.

Antara persembahan yang paling mendapat sorakan ramai apabila Siwon, Kangin, Ryeowook dan Sungmin naik ke pentas dengan berpakaian perempuan dan menari.

Tidak ketinggalan apabila mereka turut tampil memakai kostume superhero seperti Thor, Captain America, Spiderman, Wolwerine, Ironman, Dragon Ball ketika menyampaikan lagu Wonder Boy.

Diselang-seli dengan interaksi dengan peminat yang hadir menerusi seorang jurubahasa, tiga ahli Suju, Heechul, Kyuhyun dan Sungmin turut dipaksa membuat aksi 'gwiyomi' yang sekali lagi mengundang jeritan peminat yang hadir.

Tanpa kejutan istimewa

Biarpun tampil dengan persembahan mantap, ditambah dengan penataan lampu LED yang dipaparkan sangat realistik, sistem audio yang cukup hebat, dan rekaan pentas yang menghubungkan dengan peminat di setiap penjuru, namun bagi sesetengah peminat, konsert kali ini terasa kurang impaknya.

Contohnya, apabila Suju mengatakan persembahan sudah berakhir dan tirai diturunkan, ia tidak membuatkan peminat bersorak risau kerana menerusi persembahan sebelum ini, ia sudah dilakukan dan membuatkan mereka sudah menjangkakan Suju akan kembali membuat persembahan.

Malah, persembahan yang dilakukan pada malam tersebut juga sudah dilihat menerusi beberapa siri jelajah kumpulan tersebut di beberapa negara lain sebelum ini.

Janji kembali ke Malaysia

Sebelum menyampaikan lagu terakhir, So I, ke semua ahli Suju membuat ucapan terakhir seorang demi seorang kepada peminat di stadium.

Biarpun beberapa kali melawak dan menyampaikan ucapannya, namun ada di antara peminat yang menitiskan air mata pada saat itu.

Antara kata-kata yang diucapkan oleh beberapa ahli Suju adalah mereka berjanji akan kembali ke Malaysia, kerana mengibaratkan 'sudah berkahwin' dengan semua peminat pada malam itu selepas menyampaikan lagu Marry U.

Namun konsert ini mungkin menjadi kenangan akhir buat Shindong yang akan menyertai latihan ketenteraan bermula tahun hadapan.

No comments:

Advertisement